Blog Widget by LinkWithin

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan Dan Al Quran



SEMPENA bulan Ramadan yang mulia, boleh dikatakan hampir semua masjid di Malaysia menyediakan pelbagai program yang berkaitan dengan al-Quran. Antaranya majlis tadarus al-Quran, bacaan al-Quran, solat terawih berimamkan seorang hafiz al-Quran yang membaca satu juzuk sehari, bacaan al-Quran di perkuburan dan majlis khatam al-Quran.

Secara umumnya hasrat, perancangan dan pelaksanaan program-program tersebut memberi kesan yang baik kepada kita dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Bagaimanapun, kita perlu lebih daripada program itu sebenarnya.

Jika kita perhatikan hampir semua program yang berkaitan dengan al-Quran secara umumnya hanya berkisar kepada tahap ‘membaca’. Pergilah mana-mana masjid atau surau, kita akan dapati kebanyakan umat Islam masih lagi berkisar tentang membaca al-Quran.

Sekarang kita memerlukan lebih daripada sekadar tahap membaca al-Quran. Secara umumnya kita boleh klasifikasikan prestasi kita terhadap hal-hal berkaitan al-Quran kepada lima peringkat atau lima tahap iaitu:
 

Pertama: Membaca al-Quran;

Kedua: Menulis ayat al-Quran;

Ketiga: Memahami makna al-Quran;

Keempat: Mengaplikasi kandungan al-Quran dalam kehidupan dengan melakukan kajian
berkaitan isi kandungan dan mengaitkan dalam kehidupan seharian;

Kelima: Penghayatan terhadap ajaran al-Quran.

Cuba kita bandingkan umat Islam di Malaysia dengan masyarakat di Barat atau orang Yahudi dari segi pencapaian dalam bidang al-Quran. Rata-rata umat Islam di Malaysia masih berada di tahap pertama.

Sebab itu seorang pemimpin Yahudi apabila disoal tentang bagaimana hendak menghadapi
cabaran umat Islam yang dibekalkan dengan al-Quran, dia tidak bimbang langsung.

“Tidak bimbangkah kita terhadap umat Islam? Adakah kita tidak akan sekali-kali dapat
mengalahkan mereka selagi mana al-Quran ada pada tangan mereka?” tanya seorang ahli
perwakilan Yahudi kepada pemimpinnya.

Pemimpin besar Yahudi itu menjawab: “Apa perlu kita bimbangkan mereka? Ya, mereka ada al-Quran tetapi berapa ramai di kalangan umat Islam yang boleh membaca al-Quran? Kalau boleh membaca, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh menulis ayat al-Quran? Kalau boleh menulis, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh memahami isi kandungan al-Quran? Kalau boleh memahami isi kandungan, berapa ramai di kalangan mereka yang boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka? Kalau boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka, berapa keratkah yang tinggal di kalangan mereka dalam menghayati al-Quran?”
 
Renungkanlah kata-kata pemimpin besar Yahudi itu. Itu adalah satu cabaran kepada kita. Berapa ramai di kalangan umat Islam di Malaysia hari ini yang boleh membaca al-Quran? Kita mungkin boleh mendapat jawapannya ketika majlis tadarus al-Quran yang kita lakukan sekarang.

Katakan dalam satu kumpulan tadarus ada 10 orang. Berapa ramai yang boleh membaca
dengan betul, bertajwid dan berlagu? Berapa ramai yang boleh membaca dengan betul dan
bertajwid sahaja? Berapa ramai pula yang boleh membaca dengan ala kadar atau cukup
makan sahaja? Dan soalan seterusnya, berapa ramai yang membaca dalam keadaan yang
boleh diistilahkan ‘merangkak-rangkak’? Anda boleh menjawabnya.
 
Itu baru dalam tahap pertama iaitu bacaan. Bagaimana pula dengan tahap penulisan ayat al-Quran? Anda boleh lakukan sendiri uji kaji ini. Cuba edarkan sebatang pen dan sehelai kertas kepada jemaah solat Maghrib di masjid. Arahkan mereka menulis surah al-Fatihah iaitu surah yang wajib dibaca ketika solat. Berapa ramai yang boleh menulis dengan betul?

Persoalan seterusnya adalah berapa ramai di kalangan kita yang boleh memahami isi kandungan al-Quran? Sudah tentulah tidak ramai berbanding dengan mereka yang boleh membacanya sahaja. Jadi untuk memahami isi kandungan kita perlu mempelajari bahasa Arab dan menguasainya. Sehubungan itu marilah kita sama-sama berusaha dengan sedaya upaya kita sama-sama belajar bahasa al-Quran ini dan menguasainya.

Persoalan berikutnya, kalau boleh memahami isi kandungan, berapa ramai di kalangan kita yang boleh mengaplikasi ajaran al-Quran dalam kehidupan kita seharian?

Ini kerana al-Quran adalah sumber rujukan ilmu pengetahuan. Adalah amat rugi jika golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, akauntan, jurutera dan lain-lain tidak mampu merujuk al-Quran untuk meningkatkan kajian dalam bidang yang diceburi.



Terlalu jauh perbezaannya antara profesional yang boleh mengadaptasi Al-Quran dalam bidang berkaitan dengan rakannya yang hanya bergantung kepada terjemahan sahaja. Selain itu memang terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan tentang sesuatu secara saintifik.

Persoalan terakhir, kalau boleh mengaplikasi dalam kehidupan mereka, berapa keratkah di kalangan mereka yang menghayati al-Quran? Jadi ayuh kita belajar bahasa Arab dan
menguasainya sehingga kita boleh menggunakan al-Quran untuk meningkatkan prestasi dalam bidang yang kita ceburi. Kesemua yang kita lakukan ini akhirnya akan menuju ke matlamat asal kita iaitu untuk memperoleh keredaan Allah s.w.t..

Umpama perlawanan bola sepak, sesudah keputusan masih terikat seri antara dua pasukan bertanding, maka permainan hendaklah ditambah masa selama 30 minit lagi. Jika keputusannya masih seri, pengadil akan memberikan lima sepakan penalti kepada setiap pasukan.

Dalam hal ini, pasukan umat Islam di Malaysia diberikan lima sepakan iaitu lima tahap. Oleh kerana kebanyakan kita hanya sekadar boleh membaca (itu pun masih ramai yang tidak boleh) maka dalam sepakan penalti kita hanya boleh memperoleh jaringan satu daripada lima jaringan yang sepatutnya.

Bagaimana pula dengan pasukan Barat atau Yahudi? Mereka pun sebenarnya mengambil al-Quran untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Bezanya mereka tidak membaca seperti kita.Setelah bertahun-tahun membuat kajian, sekarang mereka berada pada tahap ke empat iaitu tahap mengaplikasi kandungan al-Quran dalam kehidupan dengan melakukan kajian berkaitan isi kandungan dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian.

Dalam hal ini, pasukan Barat atau Yahudi juga diberikan lima sepakan iaitu lima tahap. Oleh kerana mereka telah berada pada tahap keempat, maka dalam sepakan penalti pasukan mereka memperoleh empat jaringan daripada lima jaringan yang sepatutnya. Keputusan permainan antara kedua-duanya ialah Barat atau Yahudi 4, umat Islam di Malaysia 1.Jadi, bagaimana kita mahu mengalahkan mereka?

Ada satu jalan untuk kita menang iaitu kita mesti memperoleh 5 jaringan untuk mengalahkan mereka dengan keputusan 5-4. Caranya tidak lain dan tidak bukan kita mesti menguasai kelima-lima tahap tersebut. Ini kerana Barat atau Yahudi pasti tidak dapat mencapai tahap kelima iaitu penghayatan terhadap al-Quran. Kalau mereka dapat mencapai tahap penghayatan bererti mereka akan masuk Islam dan tidak lagi memusuhi Islam, bahkan sebaliknya akan bersama kita.



Akhirnya, sempena Ramadan al-Mubarak marilah kita meningkatkan tahap pencapaian kita dalam menggunakan al-Quran sebagai panduan hidup. Sesungguhnya Ramadan adalah masa
terbaik untuk kita mula membaca tafsir dan belajar bahasa al-Quran.

oleh : Hariri Daud

0 comments:

QURAN

  © ibnuzainrembawi Psi by ibnuzain.com 2009

Back to TOP